'Hati mula risau, hubungi anak tak dapat'



 Gurun: "Beberapa kali saya cuba hubungi pasangan kembar itu tetapi tak dapat mungkin bateri habis, ketika itu saya tak sedap hati sebab sudah lewat malam.

"Saya nak cari mereka di mana sebab saya tak tahu lokasi mereka berada ketika itu, saya cuba menghubungi telefon bimbit dua rakan mereka itu tetapi tak dapat juga," kata Mohd Safwan Yaacob, 40-an.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa anak kembarnya, Nor Adilah Mohd dan Nor Aqilah, 21, pada 1 pagi selepas dihubungi keluarga seorang daripada rakan anaknya itu.

Katanya, sebaik menerima maklumat penemuan kereta yang dinaiki mereka terus dia bersiap ke Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

"Dalam hati saya agak berdebar kerana saya dimaklumkan keadaan dua anak saya ketika itu sudah tak sedarkan diri.

"Tidak lama kemudian saya dimaklumkan seorang rakan mereka sudah meninggal dunia dan berdoa semoga anak-anak saya dan seorang lagi rakannya selamat," katanya di sini hari ini.

Mohd Safwan yang menetap di Taman Ria Mesra di sini, berkata, anak sulungnya, Nor Adilah disahkan meninggal dunia manakala kembarnya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur.

Menurutnya, pasangan kembar itu memang tidak pernah berpisah sejak kecil malah sering berdua-duaan apabila bercuti.

"Mereka juga belajar dalam jurusan farmasi peringkat Diploma di Kuala Lumpur dan selalu melancong ke Pulau Pinang apabila bercuti.

"Semalam, mereka minta izin nak pergi ke Pulau Jerejak untuk melancong dengan dua lagi rakan baik mereka namun tak sangka berakhir dengan tragedi," katanya.

Mohd Safwan berkata, anak sulung dari tujuh beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan malah dia sentiasa kelihatan ceria.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan berharap anak keduanya cepat sembuh.